Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 8 December 2011

Ikhlas jihad penentu kejayaan



SELURUH umat Islam perlu meningkatkan jihad mengubah keadaan menjadi lebih baik untuk umat Islam keseluruhannya. Jihad yang ikhlas adalah bukti kepada keteguhan iman dan kesungguhan merealisasikan tanggungjawab sebagai muslim.
Jihad dalam Islam meliputi segala usaha dan perjuangan menjurus kepada tertegaknya agama Allah SWT supaya dapat diamalkan secara terbuka tanpa dihalang sesiapa. Jihad tidak terhad berperang di medan perang, tetapi merangkumi segala aktiviti dalam kehidupan umat Islam.
Usaha membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan keperluan umat Islam dan manusia keseluruhannya terbela atas prinsip keadilan juga sebahagian daripada jihad yang dituntut.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah SWT dengan jihad yang sebenar. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Dr Yusuf Qardhawi dalam bukunya Aina al-Khalal menyatakan, umat Islam sebenarnya bukan lemah tetapi kurang kesedaran, lupa diri, tidak menggunakan seluruh kekuatan dan potensi, tidak berdikari (banyak bergantung kepada Barat)

Mereka juga memiliki daya fikir kerdil, sempit dan beku (jumud), budaya taklid merugikan, kekuatan rohani yang pudar, tandus ilmu, bankrap idea, muflis akhlak, ukhwah antara umat Islam lemah, kerja tidak berkualiti dan kurang produktiviti serta membiarkan saja sumber ekonomi dieksploitasi musuh.
Jika apa yang disebut itu dapat diubah, sinar kejayaan dan kecemerlangan Islam kembali menyinar seperti pernah dicapai pada era kegemilangan Islam dulu. Ini cabaran perlu disahut oleh setiap individu muslim.

Kita perlu sedar bahawa umat Islam mesti berada pada kedudukan lebih kuat jika ingin dihormati dan mengelak daripada dibuli oleh musuh Islam. Nasib umat Islam akan terbela jika mempunyai kekuatan atau kedudukan setanding penganut agama lain.

Umat Islam mesti bersedia menghadapi cabaran dengan penuh kesabaran dan ketakwaan, sehingga berjaya meraih kejayaan hakiki di sisi Allah SWT. Hanya mereka yang ikhlas melaksanakan jihad untuk agama Allah SWT akan mencapai kejayaan.

Ia sesuai dengan tujuan Allah SWT mencipta manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Jihad boleh dilakukan menggunakan lisan, penulisan, kekuatan tenaga, ilmu, kekayaan, profesion yang diceburi, kepakaran dan segala macam usaha menuju tercapainya maksud jihad.

Semua keupayaan dimiliki umat Islam mesti digemblengkan dalam satu saf perjuangan menuju satu matlamat mempertahankan kedaulatan Islam. Usaha ini mesti digerakkan berdasarkan strategi dan mengikut keutamaan mana lebih diperlukan mengikut keadaan semasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak sepatutnya bagi orang mukmim itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak dalam setiap golongan dalam kalangan mereka beberapa orang untuk mendalami ilmu pengetahuan agama agar mereka dapat memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjadi diri mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 122)

Musuh Islam sentiasa berusaha menghakis jati diri muslim. Provokasi dalam bentuk menghina, menidakkan hak kebebasan dan memperkecilkan kepentingan sesuatu amalan dalam Islam dilakukan secara terancang oleh musuh Islam di seluruh dunia.

Musuh Islam menguji dan menunggu tindak balas daripada umat Islam terhadap sesuatu isu dibangkitkan. Dalam hal ini, umat Islam perlu bijak mengendalikan krisis provokasi itu. Tindakan kemarahan yang ekstrim dan luar kawalan akan memburukkan lagi imej umat Islam di seluruh dunia.

Usaha menuntut ilmu dan menjana kemajuan ekonomi umat Islam mesti dijadikan agenda penting. Umat Islam tidak akan dihina dan menjadi mangsa sikap angkuh musuh Islam jika kedudukan mereka lebih kuat atau setidak-tidaknya menyamai apa dimiliki umat lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...