Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 3 December 2011

Hijrah mantapkan umat Islam



 
ISLAM tersebar melalui penghijrahan manusia, bermula dengan penghijrahan baginda Rasulullah s.a.w. dari kota Makkah tempat tumpah darah baginda ke kota Madinah yang menjadi sebuah tempat tersebarnya Islam ke seluruh pelosok dunia.


Mengapa tidak, pertama Allah SWT Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, telah memilih Makkah tempat terakhir diutusnya Rasul yang terakhir, Makkah yang terletak di tengahtengah dunia memberi isyarat bahawa ia akan tersebar dengan mudah kerana berada di tengahtengah itulah Islam mudah untuk dibawa ke Eropah melalui Turki di sebelah timur, ke Asia melalui Yaman, ke Afrika melalui Mesir atau Sudan.
Kedua, Madinah merupakan sebuah kota di mana masyarakatnya mudah dilentur dengan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. yang telah mengirimkan sahabat ke sana untuk memperkenalkan Islam melalui ayat-ayat al-Quran yang menjadi bekalan penting sebagai pengisian rohani yang serba kekosongan.
Bayangkan jika baginda tidak berhijrah ke Madinah, hanya menetap di Makkah sebagai warganya yang setia sampai bila-bila, sedangkan orang-orang Makkah begitu agresif menolak Islam yang diperkenal dan dibawa oleh Rasulullah. Maka rasanya Islam hanya berlegar di situ dan hanya terbatas dalam skopnya yang sempit, kerana penyembahan kepada Allah secara terbuka adalah perkara terlarang, tidak mungkin Islam akan maju.
Takdir Allah SWT menentukan segala-galanya, Dia tidak mahu Islam hanya dipercayai oleh orang-orang Arab di Semenanjung Tanah Arab, justeru peristiwa hijrah baginda Rasulullah membuktikan bahawa Islam adalah milik manusia sejagat, kerana Islam juga adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, iaitu untuk Arab dan ‘Ajam (bukan Arab).
Rasulullah menghijrahkan sahabat Setelah baginda Rasulullah berjaya melepasi kepungan golongan musyrikin Makkah yang berusaha untuk menyekat penghijrahannya ke Madinah, antara langkah awal bagi memastikan Islam tidak hanya berlegar di kalangan masyarakat Arab di situ, baginda telah mengarahkan dutanya ke Yaman iaitu Mu’az bin Jabal untuk mengajar Islam.
Sebelum berhijrah berangkat ke Yaman, Mu’az bertanya apakah bahan yang akan disampaikan kepada penduduk Yaman, Mu’az terkenal sebagai cendekiawan dengan wawasannya yang luas dan pemahaman yang mendalam dalam ilmu fiqh, dan bahkan Rasulullah menyebutnya sebagai sahabat yang paling mengerti yang mana yang halal dan yang haram. Mu’az juga merupakan duta besar Islam yang pertama kali yang dikirim Rasulullah.
Hadis baginda mengenai kelebihan Mu’az; “Orang yang paling mengetahui halal dan haram di kalangan umatku adalah Mu’az ibn Jabal.”
Baginda juga menghijrahkan sahabat-sahabatnya untuk menghantar surat kepada Raja Mesir al-Muqauqis, Raja Rom, Parsi dan beberapa negara lain, ada yang menerima seruan untuk masuk Islam dan tidak kurang juga yang menolak kerana masih ada kepentingan peribadi yang tidak dapat diselesaikan. Ia merupakan siri penghijrahan para sahabat untuk menyebarkan Islam.
Kesan hijrah para sahabat pada zaman Sayidina Abu Bakar Setelah menakluki Yamamah, Sayidina Abu Bakar memerintahkan Khalid menuju Iraq dan menasihatinya supaya berdakwah kepada mereka yang bukan Islam. Jika tidak menerima, maka ambillah jizyah dan jika tidak diterima barulah diperangi. Al-Waqidi berkata: ‘‘Ahli sejarah berselisih pendapat.
Ada yang berpendapat Khalid terus ke Iraq dari Yamamah dan ada yang berpendapat, Khalid Al- Walid pulang dahulu ke Madinah dan menuju Iraq melalui jalan Kufah.” Pendapat pertama lebih masyhur.
Al-Madaini menyebut dengan sanadnya bahawa Khalid Al-Walid menuju Iraq pada Muharam 12H melalui Basrah. Ketika itu gabenor Kufah ialah Musanna Al-Harisah As-Syaibani. Ini menunjukkan bahawa para Abu Bakar juga bertanggungjawab mengembangkan Islam ke wilayah-wilayah dengan melakukan perluasan negara Islam selain Madinah.
Sayidina Umar bin al-Khattab dan pengaruh hijrah Sayidina Umar juga mengambil langkah melakukan perluasan negara Islam. Beliau tidak hanya mahu melihat Islam dianuti oleh orang-orang Arab, justeru beliau telah mengirim bala tenteranya ke Qadisiyyah pada tahun 636M, tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada orang-orang Parsi untuk menerima Islam.
Setelah wakil Sa’ad bin Abi Waqqas bertemu Panglima Besar Sassanid, Rostam Farrokhzad untuk menawarkan tiga pilihan bagi mengelak berlakunya peperangan, iaitu menawarkan kepada mereka agar menerima Islam, atau membayar jizyah (cukai) kerana duduk dalam wilayah yang ditadbir oleh orang Islam atau berperang. Maka Rostam telah memilih perang daripada menerima dua tawaran, maka berlakulah perang yang dikenali sebagai Peperangan al- Qadisiyyah.
Penghijrahan para ulama punca Islam tersebar Sejarah telah mencatatkan bahawa penghijrahan para ulama adalah di antara faktor utama bagaimana Islam berkembang pesat di beberapa buah negara seperti yang pernah terjadi kepada empat Imam mazhab terkenal iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.
Sebagai contoh Imam Syafie yang merupakan anak jati Gaza di Palestin, telah berhijrah pada usia muda untuk ke Makkah mempelajari ilmu-ilmu agama di samping menghafaz al-Quran 30 juzuk, kemudian beliau ke kota Madinah kerana berguru dengan Imam Malik. Beliau sempat menghabiskan kitab Muwatta’ (tentang hadis-hadis hukum) susunan Imam Malik sendiri.
Imam Malik menyaksikan sendiri kehebatan dan anugerah Allah kepada Imam Syafie yang mampu menguasai pelbagai bidang ilmu. Kemudian beliau berhijrah ke Mesir dan Baghdad dan kembali semula ke Mesir dengan mengajar ilmu-ilmu agama terutamanya ilmu fiqh dan usul hingga sampai ke peringkat mujtahid yang mampu mengeluarkan fatwa.
Penghijrahannya ke Mesir dan beberapa negara umat Islam menyerlahkan lagi kefahaman ummah terhadap perkembangan Islam.
Begitu juga dengan imam hadis iaitu Imam Bukhari yang berasal dari Bukhara (sekarang ini di Uzbekistan) menjelajah ke beberapa negara untuk mendapatkan hadis-hadis terpilih (sohih) selama 16 tahun dan berpusat di Masjidilharam, Makkah. Ada pendapat ulama mengatakan, bahawa kalau tidak kerana penghijrahan Imam Bukhari mendapatkan hadis-hadis sohih, maka ramai di kalangan umat Islam tidak melakukan solat, kerana hadis-hadis sohih tentang solat banyak beliau yang meriwayatkan.



Credit USTAZ ZAINUDIN HASHIM

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...