Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 8 December 2011

Henti tohmahan: SPR



Wan Ahmad Wan Omar
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan parti politik supaya menghentikan segala bentuk tohmahan kepada pihak tersebut, terutamanya melibatkan pendaftaran pemilih.
 
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tindakan sesetengah pemimpin politik seolah-olah memperlekehkan data pemilih yang dikeluarkan SPR adalah tidak wajar.
 
“Saya ingatkan mereka hentikan semua itu, sudah-sudahlah memburukkan SPR.Kita langsung tidak kisah dengan sebarang tuduhan yang dibuat mereka. Kami dah lali dengan situasi ini.
 
“SPR sudah memberikan taklimat kepada semua parti politik dan mereka sepatutnya memaklumkan kepada kita sekiranya terdapat sebarang masalah dan percanggahan kepada daftar pemilih yang dikeluarkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mendedahkan terdapat pe­ngun­di bernama ‘Balai Polis Kerinchi’ antara 91 pemilih pos yang diragui dan mengelirukan terdapat dalam senarai daftar pengundi Parlimen Lembah Pantai.
 
‘Balai Polis Kerinchi’ yang lahir pada 1983 menggunakan kad pengenalan polis RF161872 mengundi di lokaliti Balai Polis Travers dalam Daerah Mengundi Bangsar Baru.
 
Menurut Wan Ahmad, apa didedahkan Nurul Izzah diubah oleh SPR, oleh itu SPR meminta parti politik sentiasa memaklumkan kes seumpama itu kepada mereka bukannya media.
 
 “Kita percaya kesalahan yang berlaku adalah disebabkan kesalahan kemasukan data semasa memasukkan nama pemilih.
 
“Kita mengalu-alukan kerjasama parti politik agar memaklumkan kes seumpama ini kepada SPR untuk diperbaiki,” katanya.
 
Semakan Sinar Harian mendapati pemilik kad pengenalan polis RF161872 adalah Mohd Faizul Mohd Yusop, lokalitinya Balai Polis Traves.
 
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, beliau akan berjumpa dengan SPR Wilayah Persekutuan bagi memaklumkan perkara ini dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...