Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Harga emas melambung

PENINGKATAN harga emas yang mendadak di Iraq menyebabkan ramai bakal pengantin termasuk Mustafa mungkin tidak mampu menabung selama setahun semata-mata untuk membeli barangan kemas buat tunangnya, Sura.
Masalah itu bukan saja menimpa Mustafa Kadhim dan keluarganya, malah dihadapi majoriti keluarga di seluruh negara Arab. Berikutan harga emas dan logam yang mening�kat secara mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tradisi pembelian emas bagi menandakan bermulanya persiapan perkahwinan mula dilihat sebagai bebanan bagi pihak lelaki.

Kadhim contohnya, bersetuju membeli barangan kemas bernilai $5 juta dinar (RM13,464), namun kunjungannya ke pasar emas popular di utara Baghdad, Kadhimiyah, menyebabkan lelaki itu pulang hampa selepas tidak mampu berdepan pasaran global semasa.

“Saya terkejut dan kecewa. Saya bimbang mengenai harganya - semuanya makin mahal termasuk emas. Tapi, membeli emas adalah perkara tradisi dan semua patut melakukannya,” kata penduduk Baghdad berusia 23 tahun itu yang memperoleh AS$700 (RM2,216) sebulan, hasil kerjanya di syarikat pembinaan tempatan.


Harga emas meningkat pada 6 September lalu dengan mencecah peningkatan sebanyak AS$1,921.15 (RM6,081.59) setiap auns, meningkat 35 peratus sejak awal tahun ini.

Ia merosot sedikit namun masih cukup tinggi untuk mencetuskan rasa kekecewaan di rantau yang menjadikan emas sebagai hadiah kepada pengantin perempuan sebagai satu rutin wajib dalam majlis perkahwinan mereka.

“Kami sentiasa menyatakan apa yang kami percaya - kecantikan dan simpanan masa depan. Emas membuatkan seseorang pengantin tampil lebih jelita dan ia sumber simpanan utama jika timbul krisis dalam rumah tangga,” kata Umm Salam, atau ‘ibu kepada Salam’ yang akan mengahwinkan anak lelakinya tidak lama lagi.

Anaknya, Salam Hamad, membayar $6 juta dinar (RM16,157) untuk 85 gram emas untuk tunangnya yang dibeli di pasar Kadhimiyah.

“Tiada apa pun yang mahal untuk wanita itu, saya rela menjual mata untuknya,” kata Hamad, 25, mengenai bakal isterinya.

Menurut Majlis Emas Dunia, bukan hanya warga Iraq yang berdepan situasi ini, malah seluruh zon Timur Tengah yang selama ini menjadi salah satu pembeli emas terbesar di dunia.

“Saya merancang untuk berkahwin sejak beberapa tahun lalu, tapi disebabkan perbelanjaan tinggi termasuk harga emas, saya akhirnya dapat mengadakan majlis pertunangan bulan lalu,” kata Alaa John, pereka grafik dari Jordan.

“Adat, tabiat dan tradisi mengawal kehidupan seharian kami di Jordan. Emas adalah kunci utama untuk berkahwin,” tambah lelaki berusia 30 tahun itu yang turut mengatakan dia dan tunangnya bersetuju membeli barangan kemas 21 karat yang lebih murah bernilai AS$2,500 (RM7,914).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...