Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Friday 9 December 2011

Gigih cari rezeki sara keluarga

BALING: Kecacatan fizikal pada diri tidak pernah menjadi penghalang dan alasan buat seorang orang kelainan upaya (OKU) untuk gigih mencari sesuap nasi bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Warga emas, Awang Ahmad, 68, atau dikenali sebagai Pak Chop dari Taman Seri Aman, Carok Nau, tidak memilih kerja kerana tidak suka membuang masa.

Pak Chop yang kini menjual akhbar dan kuih muih di Pekan Baru Baling, di sini, berkata, dia reda dengan dirinya apabila mengalami kecacatan selepas tangan kirinya dipotong akibat terbabit dalam kemalangan kira-kira 30 tahun lalu.
Menurutnya, dia yang mempunyai dua cahaya mata tidak pernah berasa kekurangan diri, malah gigih berusaha untuk mencari rezeki demi meringankan beban keluarga.

“Kecacatan pada diri bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup, malah saya tidak pernah berputus asa asalkan rajin dan usaha itu sebagai batu loncatan untuk menjadi seorang yang lebih berdikari dan tabah.

“Kalau orang lain boleh berjaya saya juga boleh melakukannya meskipun tidak normal. Justeru, golongan OKU tidak sepatutnya berasa rendah diri kerana kerajaan banyak memberi bantuan bagi mengelakkan kami berasa terpinggir," katanya.

Pak Chop tinggal bersama isterinya, Adilah Baharum, 64, manakala dua anaknya, Mohd Yusri, 28, dan Mohd Basri, 26, sudah berkahwin dan menetap bersama keluarga masing-masing.

Menurutnya, golongan OKU perlu pandai mencari peluang di samping mendapat sokongan daripada keluarga dan masyarakat setempat.
Katanya, dia juga sering melihat kesusahan orang lain untuk meningkatkan keyakinannya bagi berhadapan dengan orang ramai.

“Kalau saya tak ada tangan, ada yang tak ada kaki. Malah, ada yang tiada kaki dan tangan. Namun, mereka masih boleh meneruskan kehidupan.

“Kita perlu tahu, Allah itu Maha Kaya. Allah akan permudahkan hidup hambanya, cuma kita tidak tahu bagaimana Allah akan permudahkan kehidupan kita,” katanya.

Katanya, walaupun pendapatannya tidak seberapa, dia turut menerima bantuan kewangan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...