Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Gelaran haji merubah sifat dan sikap


PADA ketika ini, ramai jemaah haji yang berada di Tanah Suci sudah selesai menunaikan rukun Islam kelima sebagai tetamu istimewa-Nya, malah ramai yang sudah pulang ke tanah air.
Selama lebih sebulan, para jemaah haji menumpukan sepenuh perhatian melakukan pelbagai ibadat yang dianjurkan syarak; menunaikan umrah, tawaf sunat, iktikaf, tadarus al-Quran dan sebagainya, sama ada di Masjidil Haram mahupun di Masjid Nabawi.
Apabila para jemaah selesai menunaikan ibadat haji, mereka akan kembali ke kampung halaman masing-masing membawa bersama detik-detik manis beribadat di Tanah Suci.
Di samping itu, mereka juga membawa sama gelaran haji atau hajah sebagai isyarat mereka pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Namun persoalan yang perlu direnung bersama apakah kesan ibadat haji cukup sekadar itu sahaja yang diraih oleh jemaah haji?
Perlu diinsafi bahawa ibadat haji bukan sekadar berangkat ke Tanah Suci tanpa sedikit pun merubah sifat mahupun sikap Muslim. Ini kerana ibadat haji sebagaimana ibadat-ibadat yang lain, juga tidak terlepas daripada tarbiah ruhiyyah untuk membentuk peribadi Muslim yang bertakwa.
Sebenarnya ibadat haji seumpama bengkel kerohanian yang cuba menggilap jiwa setiap Muslim agar bersinar dengan suluhan takwa dan iman kepada Allah yang Maha Esa.
Tambahan pula, sepanjang perlaksanaan ibadah tersebut, terbentang pula pelbagai ujian dan halangan yang mengiringi setiap pergerakan Muslim. Ia menguji kesabarannya dalam ketaatan kepada Allah atau pun tersungkur di pertengahan jalan.
Oleh sebab itu, untuk menghadapi kesemua cabaran yang terhampar ini, tidak dapat tidak jiwa setiap Muslim perlu disiram dan dibaja dengan benih-benih takwa dan iman kepada Allah.
Dari sini jelas bahawa setiap ibadat yang disyariatkan Allah mengungkapkan tujuannya untuk meraih nilai-nilai ketakwaan. Ini kerana takwa yang jitu secara langsung akan membuahkan sikap yang unggul, sifat yang luhur dan mental yang cemerlang menghiasi peribadi Muslim dalam kehidupannya.
Pengabdian
Pendek kata, seluruh kehidupan insan sebenarnya merupakan satu pengabdian kepada Allah pada setiap masa dan ketika.
Ini sejajar dengan firman Allah yang bermaksud: Katakanlah! Sesungguhnya solatku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya). (Al-An`am: 162-163)
Selain itu, ibadat haji bukan sekadar rehlah (perjalanan) spiritual atau jalan-jalan makan angin tanpa makna dan iktibar, malah ia memiliki berbagai-bagai nilai dan kewajipan yang sewajarnya difahami, dihayati dan diamalkan sepanjang perjalanan Muslim menuju keredhaan Ilahi.
Dari segi kedudukan, ibadat haji diibaratkan kewajipan pelengkap setelah empat kewajipan sebelumnya, iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengeluarkan zakat. Kedudukan ini mengisyaratkan ibadat haji merupakan ibadat kemuncak seseorang Muslim.
Ia juga tidak sunyi daripada aneka pengorbanan. Oleh sebab itulah ibadat haji diletakkan pada rukun terakhir selepas pengorbanan lisan melalui syahadah, pengorbanan waktu melalui solat, pengorbanan jasmani dan rohani melalui puasa dan pengorbanan harta dalam zakat.
Barangkali inilah sebabnya mengapa istilah manasik yang bermaksud pengorbanan selalu dipadankan dengan haji.
Ini kerana ibadat haji sentiasa menuntut aneka pengorbanan yang selanjutnya wajar mengiringi setiap langkah perjalanan menuju akhirat.
Seusainya ibadat haji tersebut, bukan bermakna selesailah segala-galanya. Sebaliknya ia adalah gerbang permulaan menuju ibadat dan jihad dalam pelbagai lapangan kehidupan.
Ibadat haji dianggap sebagai ibadat kemuncak kerana ia menjadi kewajipan terakhir pengabdian seorang Muslim secara individu.
Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Amalan yang paling utama adalah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, berjihad pada jalan-Nya dan haji yang mabrur. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa Rasulullah tidak terus menyebut haji mabrur sebagai amalan yang paling utama di antara himpunan amalan soleh. Sebaliknya didahului dengan iman kepada Allah dan jihad pada jalan-Nya.
Kewajipan
Ini menggambarkan bahawa ketakwaan yang diredhai Allah boleh diraih oleh sesiapa pun juga. Pendek kata, iman dan jihad merupakan kewajipan yang tidak terbatas sehingga boleh dilaksanakan oleh sesiapa pun juga.
Sebagai contohnya, dalam pelbagai lapisan masyarakat dan kemampuan, ada tahap kewajipannya masing-masing berdasarkan kemampuan.
Senyuman seorang miskin yang tidak mempunyai harta, dengan sedekahnya orang yang kaya, sama-sama memiliki aura ketakwaan. Malah sebenarnya dalam Islam tidak ada unsur paksaan dalam melaksanakan sesuatu amalan ibadat.
Seseorang yang memaksa dirinya melakukan sesuatu amal ibadat di luar kemampuannya, sama sekali bukan ketaatan atau ketakwaan yang diredhai Allah, melainkan ia adalah keterpaksaan ataupun amalan yang sia-sia.
Di sinilah letaknya prinsip kemampuan yang menjadi salah satu syarat sah haji seseorang Muslim. Prinsip kemampuan dalam ibadat haji menyingkap kewajipan yang harus dipikul sesuai dengan kemampuan dan kesanggupan yang dimilikinya, tiada unsur-unsur paksaan dan tidak juga ada unsur keterlaluan melebihi kadar sepatutnya.
Dalam konteks ini, seseorang yang memaksa dirinya menunaikan ibadat haji sehingga menjual seluruh kekayaan yang akhirnya mengakibatkan keluarganya menjadi papa kedana ataupun yang menggunakan wang pinjaman atau hutang, merupakan suatu sikap dan sifat yang bertentangan dengan prinsip kemampuan tersebut.
Begitu juga seorang yang sudah pun berkali-kali menunaikan ibadat haji, sedangkan ada jiran tetangga mahupun kaum kerabatnya yang meraung kelaparan dan sangat-sangat memerlukan bantuannya.
Bukankah Allah telah berfirman maksudnya: Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjaga dan memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (At-Taghabun: 16)
Haji yang mabrur pada hakikatnya adalah haji yang memantulkan nilai-nilai kesolehan dalam setiap ruang kehidupan Muslim. Haji yang mabrur juga adalah satu bentuk ibadat yang terhimpun di dalamnya tiga aspek penting; niat yang ikhlas, amal ibadat yang konsisten dan hikmah yang mencorakkan kehidupannya sebagai Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...