Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Saturday 10 December 2011

Gadaian tanpa bunga

PERKEMBANGAN industri pajak gadai Islam, Ar-Rahnu bermula pada 1992 apabila Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) mencari jalan menyediakan satu sistem pinjaman kewangan yang mudah. Bagaimana Bank Rakyat boleh memperkenalkan skim ini?
Rakyat Management Services Sdn Bhd ialah anak syarikat milik penuh Bank Rakyat dan mempunyai kepakaran di dalam operasi pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) Bank Rakyat sejak 1993.
Kami turut bertindak sebagai syarikat pelaksana atau francaisor kepada peranan korporat Bank Rakyat dalam membantu membangunkan perniagaan koperasi (Ar-Rahnu) sejak 1993 kepada francaisi dan turut agresif dalam mengembangkan cabang perniagaan yang selari dengan perniagaan terasnya seperti jual beli emas terpakai dan kini memulakan langkah untuk menceburi perniagaan jongkong emas, barang kemas dan seumpamanya.

Bagi perkhidmatan jururunding pula, RMS dipertanggungjawabkan mengendalikan latihan operasi Ar-Rahnu kepada warga Bank Rakyat dan turut menawarkan beberapa perkhidmatan lain berkaitan seperti kepakaran semakan stok barang kemas dan semakan pematuhan operasi Ar-Rahnu.


Apakah pula Ar-Rahnu X’Change?

Ar-Rahnu X’Change adalah perniagaan pajak gadai Islam di bawah sistem francais Bank Rakyat menerusi RMS. Ia kini menjadi satu program Bank Rakyat membangunkan perniagaan usahawan dan koperasi.

Sebelum ini, pajak gadai sering dipandang negatif, tetapi dengan adanya konsep Ar-Rahnu X’Change, pelanggan yang ingin modal segera boleh membuat pinjaman secara berhemah tanpa dibebani sebarang unsur penipuan.

Perniagaan ini menggunakan konsep Quardhul Hasan bermakna pinjaman tanpa faedah digabungkan dengan konsep Wadiah Yad Dahmanah, memberi jaminan barang disimpan selamat. Setiap gadaian mempunyai polisi keselamatan dan insurans takaful. Jika berlaku kehilangan disebabkan pecah masuk diberi jaminan barang akan diganti sebagaimana nilai ketika ia digadaikan.


Bagaimana dengan potensi perniagaan ini?

Industri pajak gadai berkembang sejak kurun ke-19 bagi membantu orang ramai mendapatkan sumber pinjaman kewangan yang mudah, permintaan tinggi ke atas kemudahan tunai segera serta mikro kredit.

Pertumbuhan pesat ekonomi dan populasi penduduk menyebabkan berlaku peningkatan barangan kemas bersandarkan pada nilai emas yang sentiasa kukuh. Selain itu, orang ramai semakin sedar emas instrumen dan perolehan modal perniagaan. Sistem pajak gadai Islam mempunyai jaminan keselamatan sebagai alternatif kepada pajak gadai konvensional.

Ar-Rahnu X’Change menjalankan ketelusan ketika berurusan, sistem pengkomputeran sistematik dan berkesan, selesa, adil dan mesra pelanggan.
Sehingga kini kami mempunyai 24 cawangan francais di uruskan pelbagai koperasi antaranya Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB), Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (KOWAMAS) yang mempunyai empat cawangan Ar-Rahnu X’Change serta dua cawangan diuruskan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).


Apakah kelebihan serta cara menyertai Ar-Rahnu X’Change?

Konsep pakej francais yang ditawarkan RMS rendah berbanding prospek keuntungan tinggi. Kami menawarkan perniagaan ini kepada koperasi sedia ada bagi mengukuhkan kewangan mereka kerana ia berjaya memulihkan kedudukan koperasi tenat.

Purata pendapatan kasar upah simpan diperoleh francaisi Ar-Rahnu X'Change mencecah RM180,000 hingga RM1.8 juta sebulan bergantung jumlah rangkaian dimiliki mereka.

Operasi perniagaan di bawah sistem francais kami menggunakan manual, garis panduan dan prosedur serta pelbagai program pembangunan jenama dengan kos rendah. Kami menyasarkan mana-mana koperasi yang mempunyai modal kewangan yang kukuh dengan modal pusingan kira-kira RM2 juta dengan yuran francais sebanyak RM35,000, deposit jaminan RM50,000 selain kos perisian RM20,000.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...