Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 8 December 2011

Elaun pegawai masjid, surau dinaikkan di Johor



NUSAJAYA - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) bersetuju menaikkan elaun pegawai masjid dan surau sebagai keprihatinan terhadap komitmen tenaga yang mengimarahkan masjid, surau serta pengembangan Islam.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kenaikan itu melibatkan seramai 793 noja masjid, imam surau (1,803) dan bilal surau (1,803).

Menurutnya, noja masjid akan menerima elaun sebanyak RM960 setahun, imam surau (RM1,200) dan bilal surau (RM600) manakala purata kenaikan elaun yang diterima mereka adalah melebihi 100 peratus dan mula dilaksanakan mulai tahun hadapan.

“Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun bagi 56 penggerak masjid dan surau yang berperanan sebagai penasihat dan penggerak kepada masjid dan surau di setiap kawasan Dun dengan kenaikan sebanyak 70 peratus kepada RM1,200 sebulan berbanding dengan kadar sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2012 semalam.

Abdul Ghani turut mengumumkan kadar kenaikan elaun mengajar al-Quran bagi 2,013 guru al-Quran yang bertauliah sebanyak 100 peratus kepada RM100 bagi setiap kelas.

“Kenaikan elaun ini diharap dapat memberi motivasi kepada mereka agar terus dapat bekerja dan mendidik dengan lebih tekun sebagai memperingati jasa mereka.

“Kerajaan Johor pada dasarnya turut bersetuju dengan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time base kepada guru-guru agama negeri Johor mulai tahun hadapan dan seramai 800 guru agama dijangka terlibat dengan kenaikan pangkat tersebut pada tahun 2012 yang melibatkan peruntukkan dianggarkan RM2 juta,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha membela dan membangunkan golongan yang kurang kemampuan, beliau berkata, Jaij akan menganjurkan Perhimpunan Asnaf Peringkat
Negeri dengan sasaran untuk mengumpulkan 2,000 penerima asnaf negeri ini.

“Tujuannya untuk memberi peluang kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti ekonomi yang menawarkan peluang perniagaan dan pekerjaan sekali gus menyasarkan untuk mengurangkan 30 peratus bilangan penerima asnaf dan menampilkan asnaf-asnaf yang telah berjaya untuk dijadikan mentor dalam perniagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...