Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 8 December 2011

DAP mahu letak calon Melayu di kawasn Melayu


SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan cadangan DAP yang berkemungkinan meletakkan calon Melayu bertanding di kerusi majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti sebagai satu langkah yang tidak wajar.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya tidak akan tunduk kepada tuntutan itu kerana langkah tersebut masih belum dapat diterima oleh masyarakat selain ia bukan satu jaminan DAP akan memperoleh kemenangan dalam PRU13.
Beliau yang mengakui bahawa cadangan DAP tersebut ada dibincangkan dalam mesyuarat bersama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun pihaknya beranggapan ia sukar dilaksanakan dan memerlukan masa.
‘‘DAP (letakkan calon Melayu di kerusi majoriti Melayu) kerana mereka mahu pecahkan imej daripada parti satu kaum kepada parti semua kaum tetapi langkah ini memerlukan masa.
‘‘Namun, kita rasa langkah ini tidak wajar dan kita tidak tunduk kepada tuntutan DAP,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam ketika di minta mengulas mengenai artikel dalam ruangan Cuit yang ditulis oleh Datuk Zaini Hassan dalam Utusan Malaysia yang menganggap bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali sebagai faktor penyelamat kepada perpaduan dan penyatuan orang Melayu, Khalid berkata, ia adalah pandangan peribadi penulis.
Mengenai Hasan yang dikatakan akan dikurniakan pingat kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S), beliau berkata, ia adalah perkenan baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas sumbangan yang diberikan oleh Hasan yang juga Exco kerajaan negeri.
‘‘Namun pada saya penganugerahan darjah kebesaran ini dilakukan oleh baginda mengikut giliran kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dianugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) manakala Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim turut menerima darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada tahun lalu.
‘‘Saya melihat baginda adalah adil dan anugerah serta darjah kebesaran diberikan mengikut giliran iaitu Menteri Besar (Abdul Khalid) kebetulan daripada PKR, Speaker DUN (Chang Khim) daripada DAP dan seterusnya kali ini Pas (Hasan),” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...