Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 15 December 2011

Cabar lapor kepada SPRM


MELAKA – Kumpulan pembangkang yang mempersoalkan lawatan sambil belajar ahli dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini ke luar negara baru-baru ini dicabar melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd Yusof Abu Hassan berkata, sebarang tuduhan bahawa ahli majlis menggunakan wang rakyat untuk makan angin tidak berasas.
Beliau meminta kumpu­-lan itu membuktikan bahawa lawatan ke Perth, Australia itu bukan bertujuan untuk belajar.

Katanya, jika perlu beliau sendiri akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempersoalkannya kerana ia memalukan PBT.

“Kita cabar pembangkang buat laporan pada SPRM bahawa kami ahli majlis pergi gunakan duit rakyat. Tapi ingat, kalau gagal kita boleh ambil tindakan kerana ia tidak berasas dan menjatuhkan moral ahli majlis,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Yusof berkata, PBT terbabit menghantar ahli majlis ke luar negara minggu lalu untuk mempelajari soal pengurusan pengangkutan awam serta kemudahan awam di sana yang dilihat jauh lebih tersusun dan sistematik.
“Ia terutama mengenai pengangkutan awam percuma disediakan di kawasan pelancongan dan perlaksanaan sistem letak kereta untuk dikaji dan dipraktikkan di negeri.
“Lawatan ini bukan untuk melancong. Lagi pun, bukan semua ahli majlis pergi. Turut serta ketua-ketua jabatan terpilih mengikut skop kerja masing-masing dan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Omar Kaseh,” katanya.

Mohd Yusof berkata, ahli majlis yang mengikuti rombongan itu tidak pulang dengan tangan kosong, sebaliknya membawa bersama laporan serta hasil yang diperolehi sewaktu di sana untuk dibentangkan dalam mesyuarat nanti.

“Kita menjemput Datuk Bandar Perth untuk melawat negeri ini pula,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Kamaruddin Md Shah, turut menjelaskan lawatan 35 ahli dan kakitangan MPAG ke China pertengahan bulan lalu yang melibatkan RM150,000 bukan untuk bersuka-ria, tetapi untuk menimba ilmu.

Rombongan ini melawat lembah solar terbesar di dunia, di Shandong, China. dengan mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

Sementara Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin sebelum ini berkata, lawatan ahli majlis itu sudah dimasukkan dalam bajet tahunan majlis perbandaran.

Jumaat lalu, 15 ahli Pakatan Rakyat mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Graha Makmur, membantah lawatan sambil belajar ahli majlis dan kakitangan MBMB, MPJ dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya ke China dan Australia itu kerana mereka tidak mahu wang rakyat digunakan.
 sewenang-wenangnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...