Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Berpuasa jalan kesempurnaan insan


Puasa ialah rukun Islam yang keempat dan wajib dilakukan pada bulan Ramadan dan difardukan pada tahun kedua Hijrah. Untuk kesempurnaan puasa hendaklah seluruh anggota badan termasuk hati meninggalkan perkara-perkara yang ditegah oleh Allah.
Kesempurnaan puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum tetapi juga seluruh badan berpuasa. Sebagai umat Islam, kita hendaklah mengawal hati agar sentiasa mengingati Allah, berzikir, berdoa, bersyukur dan sebagainya.
Inilah hakikat puasa dan orang yang memelihara perkara tersebut, maka merupakan satu jihad yang besar dalam melawan hawa nafsu. Puasa merupakan jihad kerohanian antara seorang hamba dengan Tuhannya iaitu hubungan ketaatan dan tunduk sepenuhnya terhadap perintah Tuhannya.
Mereka yang benar-benar berpuasa adalah mereka yang dapat menahan anggota zahir dan batinnya daripada melakukan perbuatan maksiat. Ertinya, hakikat puasa adalah berpuasa daripada berbuat kejahatan lahir dan kejahatan batin.
Sayyid Qutb melihat bahawa puasa merupakan jalan untuk mencapai kesempurnaan kemanusiaan. Sebabnya puasa menjadi pendidikan terpenting dalam mendidik jiwa manusia dan membina perasaan kehambaan dan pengibadatan kepada Allah.
Apabila berpuasa, kita akan merasai bahawa kita adalah orang yang paling bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan. Di samping itu, kita dapat merasai nilai-nilai hidayah Allah yang didapati dalam diri kita semasa dalam berpuasa, iaitu mencegah diri daripada berfikir untuk membuat maksiat, mencegah diri dan anggota badan dari menderhaka-Nya, sentiasa merasai untuk mengingati Allah atas kurniaan nikmat dan hidayah tersebut.
Firman Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah : 183)
Setiap perkara yang Allah wajibkan itu mempunyai hikmah yang tersendiri. Maha Suci Allah yang tidak mengharap manfaat daripada ketaatan kita dan tidak dapat memudaratkan-Nya dengan kemaksiatan kita. Hikmat sebenarnya hanya Allah yang mengetahui.
Hikmat ketaatan itu hanya kembali kepada kepentingan manusia. Terdapat hikmah yang utama Allah mewajibkan umat Islam berpuasa iaitu menguji siapakah hamba-hambanya yang ikhlas beribadat dan bersabar. Kesabaran itu membuktikan bahawa mereka adalah orang yang cinta dan kasih kepada Allah.
Di samping itu, puasa adalah rahmat Allah terhadap hamba-hambanya. Melalui ibadat puasa, jiwa seseorang diasuh dan dilatih agar kuat menahan godaan syaitan dan hawa nafsu. Godaan-godaan tersebut merupakan punca yang mencetuskan berbagai-bagai kejahatan di atas muka bumi ini. Puasa akan menyucikan diri dengan ketaatan dan menjauhi perkara maksiat. Puasa melatih dengan kesempurnaan ubudiah kepada Allah.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, Demi Allah sesunguhnya diriku berada ditangan-Nya, bau busuk mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih harum daripada bau kasturi. Dia meninggalkan makan dan minum dan syahwat kerana aku dan setiap amalan anak Adam baginya, melainkan puasa, ia bagiKu (menentukan kadar pahala) dan akulah yang membalasnya. (muttafaqun alaih)
Kekuatan nafsu jahat itu dapat dilemahkan apabila seseorang itu berpuasa dan jalan-jalan syaitan telah disempitkan dengan lemahnya hawa nafsu. Apabila syaitan dan hawa nafsu tidak aktif, maka terhindarlah seseorang itu daripada maksiat dan kejahatan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Sesungguhnya syaitan itu adalah mengikut saluran darah. Oleh itu hendaklah kamu persempitkan jalan syaitan itu dengan melakukan lapar dan dahaga”.
Berpuasa walaupun mempunyai hikmah dari segi kesihatan adalah merupakan satu latihan untuk manusia mencapai tahap ketinggian dalam program kerohanian. Manusia seperti dalam gambaran kejadian Adam merupakan dua unsur terpenting iaitu tanah dan roh Ilahi yang ditiupkan oleh Allah. Satu menyeru ke arah bawah dan satu lagi menyeru ke arah atas. Apabila unsur tanah menguasainya jadilah ia seperti binatang dan jika unsur roh menguasainya maka ia akan lebih tinggi daripada tingkat para malaikat.
Oleh itu, orang yang berpuasa akan mendapat kemenangan bagi roh atas kebendaan, akal atas syahwat. Inilah rahsia kegembiraan bagi orang yang menyempurnakan berpuasa iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa. Berpuasa juga melatih seseorang itu bersabar. Sabar atas ketaatan dan sabar dalam mencegah diri daripada melakukan kejahatan. Kedua-dua kesabaran itu diperolehi melalui puasa. Puasa juga merupakan perisai dan banyak hadis yang menyebutkan perkara tersebut sama ada perisai dari melakukan dosa di dunia ini atau perisai dari azab neraka.
Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Puasa itu adalah perisai daripada neraka seperti mana perisai salah seorang dari kamu daripada pembunuhan”. (riwayat Ahmad, al-Nasa'i, Ibn Majah, Ibn Huzaimah dan Ibn Habban dari Uthman bin Abi As.)
Puasa mempunyai ikatan yang sangat rapat dengan keimanan seseorang kepada Allah. Puasa merupakan ibadat rahsia. Seseorang itu boleh makan dan minum secara bersembunyi tetapi dia tidak mampu bersembunyi daripada Allah.
Puasa adalah ibadat hati yang menjadi rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya. Oleh itu seseorang yang berpuasa menjadi bukti yang kukuh bahawa ia meyakini bahawa Allah memerhati dan melihat dirinya sama ada nyata atau sembunyi. Keadaan ini menjadi satu pendidikan baginya untuk menguatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...