Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

Bekas CEO PUNB dipenjara kerana menipu


KUALA LUMPUR 5 Dis. - Dua pegawai kanan Permodalan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) yang dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada kesalahan memalsukan sijil-sijil bon bernilai AS$5 bilion (RM18 bilion) 11 tahun lalu, masing-masing hari ini dihukum penjara lima dan empat tahun.
Hakim Datuk Su Geok Yiam memutuskan demikian terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PUNB, Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari, 70, dan bekas Setiausaha PUNB, Mohamad Aminuddin Mohamed Zain, 54, selepas menerima rayuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembebasan kedua-dua tertuduh.
Dalam penghakimannya, Hakim Geok Yiam berkata, Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah telah terkhilaf semasa memutuskan pembebasan tertuduh pada 28 Januari 2010.
Komathy dalam keputusannya membebaskan kedua-dua tertuduh berdasarkan surat yang dihantar oleh Ahmadi kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 11 Disember 2000 menjelaskan tindakannya mengeluar bon tersebut.
Menurut Geok Yiam, wujud ketidakjujuran oleh tertuduh-tertuduh yang telah melakukan kesalahan serius meskipun pihak pembelaan berhujah, kedua-duanya tidak berniat serong serta tidak mengakibatkan kerugian yang besar terhadap PUNB.
Menurut beliau, tertuduh jelas bersalah apabila tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah PUNB walaupun sebenarnya ia diperlukan untuk mengeluarkan bon.
"Kedudukan kamu tidak boleh disamakan dengan kedudukan Perdana Menteri yang ketika itu menerima nasihat peguam," kata beliau lagi.
Ahmadi dihukum penjara lima tahun manakala Mohamad Aminuddin pula penjara empat tahun.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap kedua-dua lelaki itu sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.
Geok Yiam menetapkan jaminan RM300,000 untuk setiap seorang serta mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Ahmadi dan Mohamad Aminuddin didakwa bersama memalsukan dokumen pada 13 Oktober 2000 di Wisma UOA 11, No. 21, Jalan Pinang di sini.
Terdahulu, peguam Datuk Taqiyudin Yahya yang mewakili Mohamad Aminuddin dalam rayuannya berkata, anak guam dan Ahmadi tidak berniat jahat malah telah meminta nasihat daripada peguam PUNB sebelum mengeluarkan bon tersebut.
Dakwanya, mereka hanya mencari dana bagi kewangan PUNB namun telah dilakukan dengan cara yang salah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...