Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday 8 December 2011

Balu Din Beramboi tekad ubah kehidupan


Suhaini (dua dari kanan) melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di tingkat 3 PWTC ketika
Perhimpunan Agung UMNO 2011.
Suhaini (dua dari kanan) melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di tingkat 3 PWTC ketika Perhimpunan Agung UMNO 2011.
JIKA ditanya pada setiap ibu tunggal di dunia ini, status yang disandang itu bukannya mudah kerana semuanya terletak di atas bahu sendiri. Pelbagai cabaran dan onak duri terpaksa dihadapi bersendirian tanpa sokongan daripada insan yang bergelar suami.

Jika dulu semua tanggungjawab digalas oleh suami tercinta, kini segala-galanya menjadi satu amanat buat isteri bagi memastikan kehidupan masa depan terjamin.
Begitulah kenyataan yang harus dihadapi oleh balu kepada Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih dikenali dengan nama Din Beramboi. Suhaini Che Man, 44, kini menggalas sepenuhnya tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada tiga anak, Nil Aina Adibah, 19; Mior Shafiq Ar-Ridhwan, 13 dan Nir Ain Syuhada, 7.
Selepas kematian suami tercinta, beliau seakan tidak mempunyai semangat sehingga terpaksa berpindah ke rumah orang tuanya buat sementara waktu. Dalam tempoh masa berkenaan, tidak ada apa yang dilakukan kerana masih lagi memerlukan waktu untuk muhasabah diri.

Katanya, seperti mana-mana isteri di dunia yang kehilangan tempat bergantung, beliau bukan mengharapkan simpati dan bantuan semata-mata untuk menyambung hidup sekeluarga, tetapi lebih kepada semangat dan juga sokongan kerana berpendapat ia boleh menjana sesuatu yang positif buat mereka anak-beranak.

“Sebenarnya, arwah seorang yang sangat menjaga keluarga dan dia tidak menggalakkan saya untuk bekerja, hanya menumpukan sepenuh masa terhadap keluarga. Mungkin disebabkan itu saya tidak bersedia untuk berubah secara drastik,” katanya.

Akhirnya, selepas setahun lebih arwah meninggalkan mereka sekeluarga sejak April 2010, Suhaini bangkit membina semula kehidupan dan bertekad mengubah kehidupan mereka sekeluarga dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.
Pelbagai kursus oleh badan tertentu dihadirinya bagi memantapkan ilmu perniagaan yang penuh pancaroba selain mendapatkan rakan yang boleh bekerjasama.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan baju kardigan yang diperoleh dari Indonesia dan Vietnam serta kanta lekap dari Korea kerana beranggapan ia mempunyai sasaran tersendiri dan skop perniagaannya tidak terlalu meluas. Selain itu, beliau turut menjual beberapa aksesori tambahan.

“Saya bersyukur kerana perniagaan yang baru diusahakan selama dua bulan ini turut dibantu oleh anak-anak walau di mana juga saya berniaga. Anak-anak tidak pernah merungut apabila terpaksa menolong saya, malah mereka gembira kerana dapat pengalaman yang sangat berharga ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini banyak perniagaan sudah diusahakan, antaranya menjual nasi lemak dan biskut raya, namun perniagaan pakaian itu dirasakan berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini dan ternyata ia membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Sebelum berjuang dalam perniagaan ini, banyak rintangan yang perlu saya hadapi, lebih-lebih lagi membabitkan perasaan sendiri. Ke mana saja saya pergi, apa yang saya lakukan, semuanya mengingatkan saya kepada arwah suami dan kata-katanya sentiasa bermain di fikiran saya.

“Kalau ikutkan perasaan, saya mungkin tidak akan bangkit daripada tidur dan terus dibuai perasaan sedih selamanya. Sokongan daripada keluarga dan rakann menjadikan saya semakin bersemangat.
Anak-anak menjadi kekuatan saya,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di Pusat Dagangan Antarabangsa Putra (PWTC), baru-baru ini.

Ini adalah kali pertama beliau menyertai karnival perniagaan seperti itu dan sambutan diterima sangat menggalakkan. Menggunakan nama Din Beramboi Resources, kedainya menerima kunjungan ramai.

Selain itu, Suhaini turut menjalankan perniagaannya di Uptown Puchong Permai, setiap hari selain di Flea Market Street Mall di Cyberjaya, setiap Selasa dan Jumaat.

Mereka yang ingin mendapatkan koleksi pakaian kardigan dan kanta lekap daripada Suhaini boleh juga melayari laman web deramboihouse.blogspot.com. Harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...