Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Thursday, 15 December 2011

Azab asid


KAMENEH Bahrami hilang penglihatan dan wajahnya cacat akibat serangan asid yang dilemparkan rakan sekelas di universitinya di Teheran, Iran kira-kira tujuh tahun lalu, hanya disebabkan enggan menerima cinta lelaki berkenaan.

Beliau yang kekal cacat pada wajah dan buta kedua-dua matanya sudah menjalani 17 pembedahan di Sepanyol dibiayai kerajaan Iran bernilai RM107,929 pernah menggemparkan dunia apabila menuntut pesalah yang melemparkan asid itu dihukum supaya kedua-dua matanya dibutakan mengikut prinsip qisas, undang-undang syariah yang diamalkan di Iran.
Namun, pada 31 Julai lalu, Ameneh, 33, memaafkan penyerangnya itu, Majid Movahedi selepas beberapa kali hukuman itu ditangguhkan atas rayuan pesalah. Alasan kemaafan Ameneh, beliau mahu melupakan titik hitam berkenaan walaupun parut kesan kejadian itu masih ada selain berbuat demikian kerana negaranya.
Itu secebis kisah mangsa serangan asid di Iran yang mendapat liputan luas dunia. Hakikatnya, banyak lagi serangan seumpamanya berlaku di seluruh pelusuk dunia dari negara mundur sehingga negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jepun. Malah di Malaysia, serangan yang satu ketika dulu terlalu jarang berlaku, kini kian kerap berlaku.

Serangan asid ditakrifkan sebagai adalah satu bentuk serangan ganas dengan yang pesalah membuang asid ke tubuh seseorang “dengan niat mencederakan atau mencacatkan akibat rasa iri hati atau dendam.” Serangan bahan kimia murah ini juga sering dikaitkan dengan kes jenayah asmara dan keganasan rumah tangga. Asid adalah suatu senjata yang mudah diperoleh dan murah dan biasanya boleh dibeli pada harga kurang $1 dolar (RM3.20) seliter dan sering digunakan untuk kerja pembersihan di rumah atau mencuci pakaian di kawasan luar bandar. Pesalah serangan ini biasanya membuang asid pada muka mangsa dengan niat mencacatkan wajah meninggalkan parut kekal dan menyebabkan mangsa buta.

Jenayah itu paling biasa dilihat di negara miskin dan mundur seperti Kemboja, Afghanistan, India, Bangladesh, Pakistan dan Iran serta beberapa negara berdekatan. Namun, kes di negara maju turut dicatatkan tetapi jumlahnya kecil.

Menurut laporan, 80 peratus mangsa serangan asid ini adalah wanita dan hampir 70 peratus mereka berumur 18 tahun dan ke bawah. Di Asia Selatan saja, serangan asid ini adalah sebagai satu bentuk bagi membalas dendam atas penolakan seksual, peminangan dan pertikaian mengenai tuntutan mas kahwin.
Penyelidik, Taru Bahl dan MH Syed yang menjalankan kajian mengenai serangan asid di Asia Selatan berkata, antara sebab utama serangan asid itu adalah pertikaian tanah manakala di Bangladesh, serangan itu secara relatifnya, berlaku kerana keganasan rumah tangga.

Di India pula, serangan asid juga digunakan untuk menguatkuasakan sistem kasta, yang mana individu kasta tinggi yang dianggap lebih mulia, sering menyerang kasta rendah kerana kononnya melanggar perintah sistem itu. Apa yang pasti, bilangan kes serangan asid meningkat setiap tahun dan dilaporkan 68 serangan asid dilaporkan di wilayah Karnataka saja sejak 1999.

Di Kemboja, serangan biasanya dilakukan wanita yang menyerang kekasih suami mereka yang curang.

Serangan asid paling tinggi dicatatkan di Pakistan dan jumlah kes terus meningkat setiap tahun. Wanita yang berparut di muka terkena asid sering dilabelkan ‘perampas’ suami orang walaupun ada juga kes dilakukan kerana kes dendam. Serangan di Pakistan, biasanya dilakukan suami yang marah terhadap isteri kerana ingkar dengan arahan mereka mereka atau dilakukan terhadap isteri yang curang.

Mengikut statistik Yayasan Mangsa Asid (ASF) di Dhaka Bangladesh, sejak 1999 hingga tahun lalu, sebanyak 2,433 kes serangan asid dilaporkan membabitkan 3,114 mangsa. Bagi tahun ini sehingga Ogos lalu, sebanyak 58 kes dilaporkan membabitkan 77 mangsa.

Selepas penubuhan ASF , jumlah serangan asid mula menurun lebih-lebih lagi apabila kerajaan menguatkuasakan undang-undang tegas bagi menangani isu berkenaan termasuk tertuduh boleh dihukum mati jika didapati bersalah di mahkamah. Pada 1999, ketika ASF ditubuhkan, kira-kira 500 kes direkodkan setiap tahun di negara itu tetapi kini jumlah itu menurun sehingga kurang daripada 100 setahun. Namun, angka itu masih tinggi di kalangan negara Asia Selatan.

Di Pakistan, dianggarkan kira-kira 150 serangan dicatatkan setiap tahun yang mana 80 peratus mangsa adalah wanita dan selebihnya lelaki dan kanak-kanak (biasanya bukan mangsa yang disasarkan tetapi turut menjadi mangsa) manakala Persatuan Wanita Progresif di Rawalpindi, mendakwa kira-kira 8,000 mangsa melecur akibat asid dan dibakar sejak 1994. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana percaya 30 peratus kes serangan asid tidak dilaporkan.

Selain Iran, Pakistan juga mengamalkan prinsip qisas untuk menghukum pesalah serangan asid yang mana penyerang akan menerima hukuman lebih kurang sama dengan mangsa mereka. Namun, sehingga kini tiada pesalah asid yang dihukum sedemikian.

Mei lalu, Parlimen Pakistan meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan dan Pencegahan Jenayah Asid yang mana individu yang didapati bersalah akan dipenjarakan seumur hidup.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak negara mengiktiraf serangan asid sebagai satu jenayah berat dan keganasan terhadap wanita yang perlu dikenakan hukuman berat.

Justeru, Malaysia yang kini diancam ‘fenomena’ serangan asid perlu memikirkan supaya hukuman berat dan setimpal dikenakan kepada penjenayah bahan kimia ini manakala kawalan bahan berkenaan perlu ditingkatkan bagi mengelak ia disalah guna sebagai ‘senjata baru’ untuk kes jenayah asmara dan keganasan rumah tangga.

Wartawan, orang kampung, model antara mangsa

BRITAIN
Katie Piper adalah model dan pengacara televisyen popular Britain, menderita selepas wajahnya melecur teruk disimbah asid oleh bekas kekasihnya pada Mac 2008. Ketika kejadian, Piper berada di sebuah kafe siber apabila tiba-tiba seorang lelaki meluru mencurahkan secawan asid ke tubuhnya. Piper turut dirogol dan diseksa lelaki yang hanya dikenali dua minggu sebelum serangan. Selain cacat dan parut, mata kiri Piper turut buta. Kisahnya mendapat liputan meluas media dan menjadikannya selebriti selepas nasibnya dijadikan dokumentari. Piper turut menjadi hos program ‘My Beautiful Friends’ yang ditayangkan di Channel 4 dan disiarkan pada Mac lalu. Dokumentari "Katie: My Beautiful Face" pula tercalon sebagai Dokumentari Terbaik Anugerah BAFTA manakala bukunya Beautiful turut mendapat sambutan ramai. Selain muncul di kaca televisyen, Katie juga terbabit dalam kerja-kerja amal membantu mereka yang senasib dengannya melalui sebuah pertubuhan dikenali sebagai Yayasan Katie Piper. Banyak anugerah diterimanya dari seluruh dunia termasuk Anugerah Wanita Inspirasi, Anugerah Galakan bagi Pride of Andover Awards pada Oktober 2010 dan sebelum itu pada 6 Oktober tahun yang sama menerima anugerah pilihan ramai sebagai "Women to Watch: Inspiration" Anugerah Wanita Terhangat Majalah Red.

AMERIKA SYARIKAT
Pada 1965, wartawan dan ahli kesatuan sekerja, Victor Riesel disimbah asid ketika meninggalkan sebuah restoran. Serangan itu dipercayai dilakukan mereka yang berang pendedahannya mengenai rasuah Presiden Kesatuan Sekerja Jurutera Operasi, William C DeKoning Jr. Akibat serangan itu Riesel buta dan kesan parut jelas kelihatan di dagu dan pipi sebelah kirinya. Namun, selepas itu Riesel menjadi semakin popular dan sering menjadi tetamu undangan untuk rancangan bual bicara di kaca televisyen dan radio menceritakan pengalamannya. Kejadian serangan itu sedikit pun tidak melemahkan beliau untuk terus bertugas sebagai wartawan, malah beliau diberikan kolum khas dalam akhbar.

PAKISTAN
Saira Liaqat, 26, melecur teruk di muka selepas disimbah asid oleh suaminya sendiri yang dikahwininya ketika beliau berusia 15 tahun. Kejadian berlaku kerana suami yang juga saudara keluarganya itu tidak berpuashati kerana Saira enggan tinggal bersamanya walaupun sudah bernikah. Saira dan keluarga suaminya sebelum bernikah bersetuju yang beliau akan tinggal dengan suaminya selepas menamatkan pengajiannya. Saira sudah menjalani sembilan pembedahan plastik bagi membetulkan wajahnya, namun sehingga hari ini parut itu tetap kelihatan.

KEMBOJA
Srey Ya buta selepas diserang simbahan asid ketika beliau bekerja di sebuah kelab malam ketika berusia 21 tahun. Beliau buta dan mukanya melecur teruk. Srey Ya meneruskan kehidupannya dan berkahwin dengan suaminya yang buta. Mereka mengendalikan pusat urut yang pekerjanya orang buta. Selain kes Srey Ya, kes simbahan asid paling tragik di sini turut membabitkan aktres Tet Marina, yang berusia 16 tahun pada 1999. Tet yang menjadi perempuan simpanan seorang ahli politik tempatan diserang oleh isteri lelaki itu.

HONG KONG
Kira-kira 30 orang awam cedera dalam satu kejadian serangan asid apabila botol asid dibaling dari sebuah bangunan di sebuah pasar malam sibuk di Temple Street, pada Januari 2010. Sejak akhir 2008, ada sekurang-kurangnya enam serangan asid di beberapa daerah beli belah di Hong Kong menyebabkan lebih 100 orang cedera.

BANGLADESH
Pada 2009, Khodeza Begum disimbah asid ketika tidur di rumah buruknya di Satkhira, Bangladesh. Mengimbau kejadian berlaku pada satu malam di musim dingin lapan tahun lalu, Khodeza berkata, kejadian itu turut terkena anak perempuannya yang tidur di sebelahnya. Berusia 30 tahun, Khodeza terpaksa menerima kenyataan bahawa sebahagian daripada wajahnya kekal berparut dan terpaksa dilindungi di bawah tudungnya. Walaupun dipaksa menanggung kecacatan seumur hidup, nasib Khodeza tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Tidak diketahui punca beliau diserang, Khodeza benasib baik kerana beliau tidak ditinggalkan suaminya walaupun mukanya cacat. Pada 2003 di Dhaka, seorang bayi berusia 18 hari, Sonali Islam turut menjadi mangsa serangan asid menyebabkan beliau buta dan separuh telinga dan melecur teruk di kepala. Bapanya Nur Islam turut melecur di muka, tangan, badan dan bahu. Motif serangan itu hanyalah perbalahan mengenai tanaman buluh Nur islam dan jiran sekampungnya.

INDIA
Di Delhi, Februari 2006, Renu disimbah asid ketika beliau sedang memandikan kerbaunya. Akibat serangan itu beliau menjadi buta dan melecur teruk di muka dan kepala. Beliau yang menjadi ibu kepada empat adiknya selepas kematian ibu mereka kini terpaksa mengharapkan belas kasihan adiknya untuk menjadi kehidupan.

KANADA
Kisah di Kanada ini berbeza dengan mangsa serangan asid lain kerana wanita yang dikenali sebagai Bethany Storro yang mendakwa disimbah asid oleh penyerang tidak dikenali sebenarnya menyimbah asid itu sendiri ke mukanya. Tidak diketahui sebab beliau berbuat demikian tetapi dipercayai Storro sengaja mencari publisiti untuk hidup senang. Selepas dikatakan disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, berita mengenai kejadian itu mendapati simpati ramai malah, Storro menerima berpuluh ribu dolar dalam akaunnya. Beberapa agensi berita juga termasuk Rancangan Bual Bicara Oprah mahu menjemputnya berkongsi pengalaman. Namun, semua itu tidak menjadi apabila kisah penipuan Storro didedahkan polis dan beliau akhirnya mengembalikan semula wang sumbangan itu.

AFRIKA SELATAN
Pada 8 September lalu, wanita Zimbabwe mahu dikenali sebagai Susan cedera teruk di muka selepas disimbah asid ketika menaiki teksi di Sea Point, Johannesburg. Serangan dipercayai disebabkan kebencian terhadap orang asing atau sindrom ‘xenofobik’. Kini, Susan selesai menjalani pembedahan di wajahnya. Akibat serangan itu, Susan kehilangan penglihatan sebelah mata kanan, melecur teruk di seluruh muka dan bibir.

JEPUN
Penyanyi dan pelakon terkenal Jepun zaman 50-an dikenali sebagai Hibari Misora disimbah asid ketika mengadakan satu persembahan di Panggung Antarabangsa Asakusa pada Januari 1957. Penyerangnya dipercayai peminat fanatik beliau, namun aktres ini bernasib baik kerana kesan melecur itu tidak teruk dan meninggalkan parut di wajahnya. Aktres ini meninggal dunia pada 1989 kerana pneumonia dalam usia 52 tahun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...