Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Sunday 11 December 2011

Adab sebelum menunaikan ibadat haji


HAJI adalah ibadat yang difardukan, salah satu Rukun Islam yang lima. Ibadat haji merangkumi ibadat badaniah seperti sembahyang dan puasa, ibadat maliyah seperti zakat dan merupakan jihad pada jalan Allah yang memerlukan pengorbanan daripada bakal-bakal haji sama ada tubuh badannya, hartanya dan jiwanya bahkan ia adalah sebaik-baik jihad.
Untuk kesempurnaan ibadat yang sangat besar erti dan faedahnya kepada seorang hamba, Islam telah menggariskan beberapa adab yang perlu dilakukan oleh hamba-Nya yang menunaikan fardu haji ke Baitullahi haram. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh setiap bakal jemaah haji bagi tujuan menambah kesempurnaan ibadat haji.
ADAB-ADAB MENGERJAKAN HAJI
* Ikhlas di dalam niat adalah asas penerimaan segala ibadat ikhlas.
Maknanya, membersihkan jiwa yang hendak menghampiri Allah daripada segala campuran yang terdorong oleh nafsu seperti riak atau lain-lain sifat keji.
Al-Fudhoil bin Iyad pernah ditanya tentang amalan yang dimakbulkan Allah. Beliau menjawab iaitu yang ikhlas dan yang betul. Ditanya lagi apakah yang ikhlas dan betul itu. Beliau menjawab sesungguhnya amalan itu bila adalah ia ikhlas dan tiada betul tiada diterima dan apabila betul dan tidak ikhlas juga tiada terima sehinggalah ia ikhlas dan betul. Yang ikhlas itu ialah semata-mata kerana Allah dan yang betul itu ialah yang mengikut sunah.
* Bertaubat daripada segala dosa-dosa dan kezaliman
Apabila seseorang itu berazam hendak menunaikan haji, hendaklah dia bersungguh-sungguh bertaubat daripada segala maksiat dan segala yang dibenci oleh syarak dan berselaluan taubatnya serta disertai dengan istighfar dan meninggalkan segala perbuatan zalim terhadap hamba-hamba Allah, melangsaikan segala hutang, mengembalikan segala amanah yang ada di dalam tangannya, meminta halal daripada orang yang ia berurusan dengan mereka dan sahabat handainya, menulis wasiat sama ada yang bersangkut dengan hak-hak Allah mahupun hak-hak hamba dan dipersaksikan wasiat itu dengan mewakilkan untuk ditunaikan hutangnya dan memberikan belanja untuk keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungannya yang mencukupi sehingga masa kepulangannya.
* Mencari keredhaan
Berusaha mencapai keredhaan kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat dan guru-guru. Jika ia seorang isteri hendaklah ia mendapatkan keredhaan suaminya dan kaum kerabatnya sendiri dan bagi suami disunatkan mengerjakan haji bersama-sama isterinya.
Jika seseorang itu ditegah oleh salah seorang ibu bapanya daripada mengerjakan haji, hendaklah dilihat jika ditegah daripada mengerjakan haji fardu maka tegahannya itu tidak dihiraukan sekalipun tiada diperkenankan kerana ibu atau bapanya yang menghalang itu sudah melakukan maksiat dengan tegahannya itu. Apabila ia berihram, bapanya tidak boleh memaksanya bertahallul daripada ihramnya tetapi jika haji itu haji tatawwu (sunat), tiada harus baginya berihram, dan jika ia berihram harus bagi bapanya memaksa bertahallul mengikut qaul yang sahih.
Adapun isteri, serta suaminya berhak menghalangnya daripada mengerjakan haji fardu mengikut qaul yang azhar kecuali di dalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, menunaikan haji fardu tiada dengan segera.
* Punca perbelanjaan
Perbelanjaan haji hendaklah daripada sumber halal yang tiada subahat padanya. Jika seseorang mengerjakan haji dengan wang yang haram, sah hajinya pada zahir tetapi ia tidak akan menjadi haji mabrur. Jauh daripada diterima oleh Allah. Ini adalah menurut Mazhab Shafie, Malik dan Abu Hanifah dan jumhur ulama salaf dan khalaf adapun di sisi Imam Ahmad bin Hambal tiada sah haji dengan harta yang haram.
* Bekalan yang lebih
Disunatkan berbekal dengan bekalan dan perbelanjaan yang lebih bagi tujuan membantu orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan hendaklah bekalan itu dari pada barang-barang yang bermutu baik dan halal. Firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).
* Menjauhi tawar-menawar
Sunat menjauhi tawar-menawar yang berlebih-lebihan ketika membeli barang-barang untuk keperluan haji bagi dirinya demikian juga barang-barang yang hendak dibuat kebajikan dengannya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
* Tidak bercampur bekalan dan perbelanjaan
Tidak digalakkan bercampur di dalam bekalan dan perbelanjaan kerana bersekutu itu boleh menghalang seseorang itu melakukan berbagai-bagai kebajikan sekalipun diizinkan oleh rakan sekutunya tetapi tiada dapat dipercayai penerusan keredhaannya.
Jika kedua-duanya bersetuju membuat kebajikan, maka disunatkan masing-masing menggunakannya di bawah kadar haknya adapun berhimpun makan beramai-ramai, bergilir-gilir belanja adalah lebih baik dan elok. Tiada mengapa bagi seseorang itu memakan lebih banyak daripada rakan-rakannya, jika ia percaya atau rakan-rakannya tiada menghalang. Jika tidak hendaklah dia makan mengikut keadaan habuannya.
* Mencari rakan dan teman
Hendaklah mendapatkan rakan-rakan, teman yang sesuai yang cenderung kepada kebajikan dan bencikan kejahatan. Sabda Rasulullah s.a.w kepada seorang sahabat (Khafaf bin Nudbah) diriwayatkan oleh Ibnu Abdul Bar dan lain-lainnya yang bermaksud: Rakan-rakan yang bila kita lupa ia mengingatkan dan bila kita ingat ia membantu.
Telah diriwayatkan oleh Ibnu Abiddunya hadis yang bermaksud: Amatlah baik sekiranya rakan-rakan itu daripada golongan orang-orang yang berilmu (ulama) kerana ia sangat membantu ke arah melakukan berbagai-bagai kebajikan dan berakhlak mulia dan dengan ilmu dan amalannya, ia dapat mencegah rakannya daripada keburukan yang boleh berlaku daripada seseorang musafir iaitu perangai-perangai yang tidak baik seperti tidak sabar, keluh kesah dan sebagainya.
Hendaklah seseorang itu memelihara keredhaan rakannya, bersabar di atas kesilapan yang berlaku dan masing-masing memandang yang lainnya lebih baik dan lebih hormat daripada dirinya. Sekiranya berlaku pergeseran yang berlarutan di antara kedua-duanya dan tiada harapan untuk diperbetulkan maka hendaklah disegerakan perpisahan dengan cara yang baik kerana perpisahan yang demikian itu lebih menyelamatkan kedua-dua pihak daripada melakukan perkara-perkara yang meletakkan amalan haji jauh daripada dapat diterima oleh Allah.
* Sembahyang sunat musafir
Disunatkan apabila hendak meninggalkan rumah dan bermusafir, menunaikan sembahyang sunat musafir dua rakaat dengan berniat di hatinya sunat keluar dari rumah untuk musafir. Dibaca pada rakaat pertama selepas Fatihah surah Al-Kafirun dan rakaat kedua dibaca surah Al-Ikhlas.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: Tidak ada yang lebih baik yang ditinggalkan oleh seseorang kepada keluarganya selain daripada dua rakaat sembahyang yang dilakukan di sisi mereka ketika hendak bermusafir, dan disunatkan membaca selepas salam ayat Qursi dan Al-Kafirun.
Sesiapa yang membaca ayat Qursi ketika keluar dari rumahnya tiada menimpa ke atasnya sesuatu yang tidak disukainya sehingga ia pulang daripada ibadat hajinya. Dan terdapat juga perkataan Assalafusoleh berkenaan dengan membaca surah Al-Kafirun mafhumnya: Sesiapa yang hendak bermusafir dan ia merasai takut kepada seteru atau binatang buas, maka bacalah surah ini sesungguhnya ia mengamankan daripada sebarang keburukan. Kemudian berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat. Pertolongan dan taufik di dalam perjalanannya.
* Mengucap selamat tinggal
Sunat mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan dengan ia pergi kepada mereka kerana telah sabit bahawa Rasulullah s.a.w apabila hendak musafir, baginda pergi menemui sahabatnya dan memberi salam kepada mereka dan apabila baginda pulang mereka (sahabat-sahabat) pula datang menemuinya dengan mengucapkan salam kepada Baginda. Orang hendak musafir mendatangi kerana ia yang hendak berpisah dan orang yang pulang didatangi untuk diucap tahniah dan selamat pulang. Yang hendak bermusafir dan yang mengucapkan selamat berangkat, masing-masing saling berdoa di antara mereka.
* Tidak berlebih-lebihan dalam sebarang keadaan
Menjauhi kekenyangan yang berlebihan dan berhias-hiasan, tiada mempelbagai makan minum, berurusan dengan lemah lembut sekalipun dengan khadam dan orang suruhan. Tiada bersikap kasar lebih-lebih lagi terhadap peminta bantuan sedekah atau seumpamanya. Menjauhi perkelahian, pertengkaran dan berpusu-pusu dengan manusia yang ramai di mana juga. Memelihara diri dari pada percakapan-percakapan yang kotor, maki hamun, mengumpat, mengata. Sentiasa mengingati sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Tiada mengeji orang yang berjalan tanpa bekalan bahkan bersimpati dengannya dan membantunya sekadar yang boleh atau menolaknya dengan baik dan berdoa untuknya.
* Berdoa dalam perjalanan
Sunat membanyakkan berdoa dalam sepanjang perjalanan untuk dirinya, kedua-dua ibu bapanya, kaum kerabat dan sekelian orang muslimin.
* Sentiasa dalam kebersihan
Berkekalan dalam keadaan yang bersih, memelihara sembahyang di dalam waktunya. Harus menqasar dan menjamak. Harus menqasar sahaja tanpa jamak dan sebaliknya tetapi yang afdal menqasar dan tiada menjamak. Imam Abu Hanafiah dan lainnya berkata: Qasar itu wajib apabila perjalanan itu dua marhalah ke atas dan jamak haram kecuali di Arafah dan Muzdalifah dan disunatkan mengerjakan sunat-sunat rawatib dengan fardu.
* Mempelajari kaifiat mengerjakan haji
Akhirnya apabila seseorang itu berkehendak menunaikan fardu haji, hendaklah ia mempelajari kaifiatnya iaitu segala rukun-rukun, syarat-syarat, wajib-wajib dan yang haram di dalam ihram dan yang membatalkan. Ini adalah fardu ain. Tidak sah ibadah mereka yang tiada mengetahuinya. Sunat dibawa bersama-samanya kitab yang menerangkan amalan haji dan selalu membacanya kerana dibimbangkan berlaku kesilapan atau ketinggalan syarat atau rukun atau umpamanya yang boleh merosakkan ibadat haji dan umrahnya.
Terdapat mereka yang terikut-ikut di dalam mengerjakan ibadat haji ini dengan amalan orang-orang yang disangka mengerti dalam perkara ibadat haji seperti sebahagian penduduk Mekah, padahal mereka juga tidak memahami tentang ibadat haji. Orang yang terikut-ikut itu terpedaya dan akibatnya haji mereka tidak diterima.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...