Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday 6 December 2011

3 lokasi buang ibu, bapa

PUTRAJAYA: Hospital, perhentian bas dan kawasan semak dikenalpasti tiga lokasi utama yang menjadi tempat bagi anak durjana atau golongan si Tanggang membuang ibu bapa masing-masing selepas tidak sanggup menjaga mereka.
Pengasas Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Muji Sulaiman, berkata beliau mendapati lokasi berkenaan memang selalu menjadi tempat buangan ibu bapa yang tua dan uzur sepanjang sembilan tahun pengalamannya mengendalikan pusat rawatan berkenaan. “Saya pernah berdepan dengan pelbagai kerenah anak yang enggan menjaga ibu bapa mereka, sehingga sanggup membuang ibu bapa sendiri begitu saja, sedangkan haiwan tidak bertindak kejam seperti itu.

“Ada yang membuang ibu bapa mereka di hospital, ditinggalkan di tepi perhentian bas dan di dalam semak.
“Malah sesetengahnya pula memberi alasan menumpangkan ibu bapa mereka seketika di mana-mana rumah sebelum mereka lenyap tanpa sebarang berita,” katanya, ketika ditemui di rumah jagaan itu di Pulau Meranti, dekat sini, baru-baru ini. Beliau mengetahui perangai jahat golongan anak durjana itu kerana ibu bapa mereka yang silih berganti dihantar ke rumah jagaan berkenaan menceritakan kepadanya segala yang terjadi ke atas mereka.

Muji berkata, angkara anak sendiri yang tidak tahu mengenang budi, ada juga tergamak menggunakan helah memasukkan ibu bapa ke wad dan dibiarkan berada di tempat itu dalam tempoh lama tanpa dikunjungi.

Katanya, taktik itu sudah lama dikesan, sehingga ada yang tidak dibawa pulang walaupun sudah sihat dan menyebabkan orang tua mereka terpaksa dibawa ‘pulang’ ke mana-mana rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Rumah ini adalah satu daripada rumah JKM yang selalu menjadi tempat warga emas dibawa pulang selepas ditinggalkan anak mereka.

“Anak jenis ini saya anggap golongan tidak bertanggungjawab. Mereka lebih sanggup melihat ibu bapa menderita dan menanggung rindu daripada membawa mereka tinggal bersama. “Malah, ada antaranya langsung tidak menjenguk ibu bapa yang ditinggalkan, apatah lagi mahu menjemput kembali, sehinggalah kedua-duanya dijemput Ilahi terlebih dulu.
“Ada kes kita tidak menyalahkan anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan kerana memerlukan penjagaan rapi berikutan menghidap penyakit serius seperti lumpuh, kencing manis, kudis dan darah tinggi.

“Kita kena berpandangan positif dan faham perasaan anak. Kadang-kadang mereka tidak mahu menghantar ibu bapa mereka ke sini, tetapi keadaan memaksa berikutan mereka perlu bekerja, sedangkan ibu bapa memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...