Tabung Anak-Anak

Tabung Anak-Anak

Tuesday, 13 December 2011

10 kelebihan - Ilmu dan orang berilmu



AYAT al-Quran yang pertama diturunkan oleh Allah kepada rasul-Nya, ialah ayat 1-5 dari surah al-Alaq yang dimulai dengan perkataan `iqra' atau bacalah!

Surah tersebut juga dinamakan sebagai surah Iqra atau al-Qalam.
``Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.''
Ayat empat `Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam', maksudnya ialah Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulisan dan bacaan. Dari sini dapat kita melihat kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia.
Tanpa ilmu, ibadah yang ditunaikan akan menjadi sia-sia, bahkan boleh terpesong daripada tuntutan yang sebenarnya.
Firman Allah s.w.t. menegaskan, ``Adakah sama antara orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.'' (Az-Zumar: 9).

Berikut adalah sepuluh kelebihan ilmu dan orang-orang yang berilmu, jika dibandingkan dengan harta kekayaan.
Keutamaan dan kelebihan memiliki ilmu pengetahuan ini telah disenaraikan dan dijelaskan oleh Saidina Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah :

1. Pewaris para nabi
Ilmu pengetahuan adalah warisan para nabi, sementara harta kekayaan adalah warisan atau peninggalan Qarun.
Oleh kerana itu pastilah ilmu itu lebih baik daripada harta kekayaan.
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, ``Orang-orang yang berilmu (ulama) itu adalah pewaris para nabi.''
Kepentingan menuntut ilmu ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a.: ``Sesiapa yang berusaha atau menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, Allah akan menganugerahkannya jalan ke syurga.''
Jika dibandingka harta kekayaan dengan ilmu pengetahuan, harta kebanyakannya mengakibatkan pemiliknya mudah terpesong dari jalan Allah.
Umpamanya Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. Dia seorang hamba yang taat pada ajaran Nabi Musa pada awalnya, tetapi kekayaannya telah merosakkan imannya.
Cerita Qarun disebutkan dalam al-Quran surah Al-Qashash ayat 76:
``Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendeharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang-orang yang kuat.''

2. Pengawal yang setia
Orang yang mempunyai ilmu, sebenarnya lebih tenang dalam hidupnya. Ini kerana dengan ilmu yang dimiliknya, ia dapat bertindak dan mengambil keputusan dalam sesuatu masalah dengan fikiran waras dan tenang.
Ilmu yang dimilikinya itu akan menjaganya dan menjadi pengawalnya yang setia di mana sahaja ia berada.
Ali berkata: ``Kita terpaksa menjaga harta kekayaan yang ada pada kita. Sementara ilmu yang kita miliki pula berfungsi sebaliknya, iaitu ia sentiasa menjaga dan mengawal kita.''

3. Banyak kawan
Sekali imbas kita melihat orang yang banyak hartanya akan ramai pulalah kawan sekelilingnya. Namun apabila dinilai secara mendalam, biasanya kawan yang ramai itu hanyalah kerana harta yang dimiliknya, bukan kerana peribadinya.
Berbeza dengan orang yang penuh dengan ilmu pengetahuan. Mereka didekati kerana peribadinya yang berilmu.
Kata Ali, ``Para hartawan mempunyai banyak musuh, sama ada yang dikenali atau tidak. Sedangkan orang-orang yang berilmu mempunyai banyak kawan.''
Firman Allah mengingatkan: ``Sesungguhnya harta dan anak-anak menjadi fitnah (ujian) kepada kamu.''

4. Dimuliakan orang
Orang yang banyak ilmunya akan sentiasa dimuliakan orang dan masyarakat sekelilingnya. Sedangkan orang yang banyak hartanya, lebih mudah menjadi umpatan dan cemuhan masyarakat yang irihati terhadap kekayaan yang dimilikinya itu.
Mengenai kemuliaan orang yang berilmu ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Naim daripada Anas r.a.:
``Ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia orang yang mulia dan meninggikan taraf seorang hamba kepada taraf raja.''
Rasulullah s.a.w. juga mengangkat darjat orang yang berilmu dengan sabdanya : ``Manusia yang paling dekat dengan darjat kenabian ialah orang yang berilmu pengetahuan dan berjihad. Adapun orang yang berilmu, ia memberi petunjuk kepada manusia mengenai segala yang dibawa oleh para rasul dan orang-orang yang berjihad.''
Allah menjanjikan kedudukan yang lebih tinggi kepada orang yang mempunyai ilmu dengan firman-Nya dalam surah Al-Mujadilah ayat 11 :
``Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: ``Berlapang-lapanglah dalam majlis'', maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: ``Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.''
Mengenai harta kekayaan, Rasulullah s.a.w. mengingatkan umatnya supaya berhati-hati kerana syaitan lebih mudah mengajak manusia yang berharta tetapi tanpa iman.
Dalam suatu peristiwa Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada iblis: ``Wahai iblis, bagaimanakah cara kamu (menggoda) terhadap makhluk Allah?'' Iblis menerangkan: ``Sebahagian daripada manusia aku lalaikan dengan harta, emas, perak, rumah, kebun dan sawah supaya hasilnya disalurkan ke arah maksiat dan dosa.''
Walau bagaimanapun, orang yang berharta tetapi tetap kuat imannya tetap mendapat pujian baginda, dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim :
``Tidak boleh beriri hati kecuali terhadap dua perkara, iaitu orang yang diberikan ilmu oleh Allah, maka ditegakkan keadilan dengan ilmunya dan diajarkan kepada manusia.
``Kedua, orang yang diberikan oleh Allah harta kekayaan, maka digunakannya untuk jalan kebajikan.''

5. Ilmu tidak boleh dicuri
Harta kekayaan boleh hilang daripada pemiliknya dengan pelbagai cara, di antaranya kemungkinan harta itu dicuri atau dirampas.
Tetapi ilmu pengetahuan tidak akan hilang begitu sahaja dengan mudah kerana ia bukan sesuatu yang berbentuk barang.
Ilmu hanya akan hilang daripada seseorang itu dengan cara kematian, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim : ``Bahawa Allah s.w.t. tidak akan mencabut ilmu daripada manusia yang dianugerahkan-Nya. Tetapi ilmu akan pergi dengan perginya (meninggal dunia) orang-orang yang berilmu itu.''

6. Tidak pernah habis
Ilmu tidak akan pernah habis walau sebanyak mana pun orang-orang yang menuntutnya, atau sampai berabad-abad zaman dipelajari oleh generasi seterusnya.
Oleh kerana itulah bijak pandai selalu mengatakan, semakin banyak ilmu yang kita pelajari, maka semakin kita rasakan diri ini tambah kerdil di sisi Allah yang tidak terbatas ilmunya.
Berbanding harta kekayaan, semakin hari ia semakin berkurangan dan akhirnya habis apabila terus digunakan.
Apabila diajukan soalan kepada para cerdik pandai: ``Apakah barang yang boleh disimpan lama?''
Jawab mereka: ``Iaitu barang-barang yang apabila kapal kamu tenggelam, maka ia akan berenang bersama kamu, iaitu ilmu yang kamu miliki.''

7. Menyinari jiwa
Saidina Ali berkata : ``Ilmu pengetahuan itu akan memberi sinar kepada jiwa kita. Sedangkan harta kekayaan lebih berkemungkinan menggelapkan hati.
``Oleh kerana itu ilmu pengetahuan lebih baik daripada harta kekayaan.''
Firman Allah s.w.t. memberi kepastian : ``Adakah sama antara orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.'' (Az-Zumar: 9).
Lokman berkata kepada anaknya: ``Wahai anakku, duduklah bersama orang-orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah s.w.t. menghidupkan hati dengan nur hikmah (sinar ilmu) seperti menghidupkan bumi dengan hujan dari langit.''
Itulah peranan ilmu yang menerangi hati. Ini kerana hati yang tidak menerima ilmu ibarat jasad yang telah mati. Manusia yang hatinya diterangi ilmu akan menyebabkan syaitan sukar menggodanya.
Penjelasan Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh At-Thabrani daripada Abu Hurairah: ``Seorang yang berilmu adalah lebih sukar bagi syaitan menipunya berbanding seribu orang abid (ahli ibadah).''

8. Tiada terbatas
Kita disuruh mencari ilmu sejak dalam buaian hingga ke liang lahad. Maknanya tiada batas waktu mencari ilmu.
Sejak lahir ke dunia hingga menemui ajal, manusia sewajarnya terus menuntut ilmu tanpa henti.

9. Sentiasa bertambah
Ilmu tidak akan berkurangan sekiranya pemiliknya mengajarkannya kepada orang lain. Ia justeru akan semakin bertambah dan berkembang.
Berbeza dengan harta kekayaan yang semakin berkurangan.

10. Taat kepada Allah
Kata Saidina Ali, ``Pengetahuan yang ada pada para nabi yang menggerakkannya berkata kepada Allah ``Kami berbakti dan taat kepada-Nya kerana kami adalah hamba-Mu''.
``Sebaliknya, kekayaan yang ada pada Firaun, Namrud dan Qarun yang menyebabkan mereka mengengkari Tuhan yang menjadikannya.''
Penjelasan ini juga diterangkan oleh Allah dalam firman-Nya, ``Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ahli-ahli ilmu (ulama).'' (Fathir: 28)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abdil Birri, ``Orang yang berilmu itu merupakan kepercayaan Allah di muka bumi.''
Akhirnya ingatlah pesan Rasulullah s.a.w. ini: ``Sesungguhnya amal yang sedikit tetapi disertai ilmu tentang Allah adalah bermanfaat. Sedangkan amal yang banyak yang disertai kejahilan tentang Allah tidak akan bermanfaat.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...